Hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a. yang bermaksud:

“Setelah aku wafat,setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”

Saturday, June 15, 2013

Hassan Rowhani presiden baru Iran


TEHERAN 16 Jun - Calon berhaluan sederhana, Hassan Rowhani , yang mendahului pilihan raya semalam, berjaya menggantikan Mahmoud Ahmadinejad sebagai Presiden Iran yang baru selepas mendapat lebih tiga suku daripada undian.
Rowhani yang juga bekas perunding nuklear yang mempunyai hubungan baik dengan masyarakat antarabangsa memperolehi 50.8 peratus undi.

Datuk Bandar Teheran, Mohammad Baqer Qalibaf pula berada di kedudukan kedua dengan 15.6 peratus diikuti dengan perunding nuklear, Saeed Jalili dengan jumlah 11.4 peratus, serta bekas pengawal komander, Mohsen Rezai yang berjaya mengumpul undian sebanyak 11.3 peratus. - AFP

Friday, June 14, 2013

Layanan Buruk Wanita Islam di Perancis


PARIS 14 Jun - Wanita-wanita beragama Islam di negara ini kini menerima layanan buruk daripada rakyat Perancis selepas undang-undang melarang pemakaian burka dan niqab dikuatkuasakan pada 2011.
Sejak pelaksanaan undang-undang tersebut, terdapat beberapa kes jenayah berlaku melibatkan serangan ke atas wanita-wanita yang memakai pakaian tersebut.

Dalam kes pertama semalam, seorang wanita mengandung berumur 21 tahun diserang dan dicederakan dua lelaki 'berkepala botak' yang bertindak menarik purdah dan rambutnya.

"Wanita itu dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Argenteuil untuk rawatan bagi kecederaan yang dialaminya," menurut polis.

Jelas polis, kedua-dua lelaki itu turut menghina mangsa menggunakan kata-kata berunsur perkauman dan menyatakan pemakaian purdah tidak dibenarkan di Perancis.

Dalam kejadian berbeza pada 20 Mei lalu, seorang gadis bernama Rabia, 17, diserang di Argenteuil kerana memakai purdah.

Dua lelaki bertindak memukul Rabia kira-kira pukul 9 malam sambil menjerit 'Arab Pengotor' dan 'Penganut Islam Pengotor'.

Rabia berkata, seorang penyerang menarik purdah serta menolaknya sehingga jatuh dan kemudian bertindak memukul sambil menghinanya.

Jelasnya, penyerang hanya berhenti memukulnya apabila ada individu lain melalui kawasan tersebut.

Di bawah undang-undang tersebut, wanita yang didapati bersalah memakai burka dan niqab di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga 130 euro (RM539.50). - AGENSI

Thursday, June 13, 2013

Budak berjaya masuki Turki dengan pasport mainan

LONDON 13 Jun - Seorang kanak-kanak Britain dilaporkan berjaya memasuki Turki dengan hanya menggunakan pasport mainan miliknya.

Para pegawai imigresen di lapangan terbang Antalya didakwa melepaskan Emily Harris, 9, dari Cwmbran, South Wales selepas mengenakan stem kastam ke atas pasport mainan dengan gambar kuda bertanduk atau unikorn berwarna merah jambu.

Dalam kejadian tersebut, ibu bapa kanak-kanak itu tersalah memberi pasport ketika menunggu giliran di kaunter imigresen selepas mendarat di Turki untuk bercuti selama seminggu.

Ibu kanak-kanak terbabit, Nicky, 43, berkata, dia tidak sedar tersalah memberi pasport tersebut sehinggalah hendak menyimpan semula dokumen perjalanan itu.

“Ketika itu saya menjadi panik kerana merasakan ada pegawai akan datang mengejar kami, tetapi tiada apa-apa yang berlaku.

“Pasport itu tidak kelihatan asli kerana ada gambar patung beruang berwarna emas di bahagian kulit depan selain berbeza saiz dengan pasport saya dan suami saya, Allen,’’ katanya.

Wanita itu berkata, pasport mainan tersebut pula tertera gambar kuda bertanduk berwarna merah jambu.

“Apa yang membimbangkan kami sebagai ibu bapa, kejadian itu menunjukkan mudahnya seorang kanak-kanak diseludup keluar ke negara lain,’’ katanya. - AGENSI

Wednesday, June 12, 2013

Kerajaan Arab Saudi musnah patung kuda



RIYADH 13 Jun - Kerajaan Arab Saudi kelmarin mengeluarkan arahan untuk memusnahkan beberapa patung kuda yang dibina di sebuah bulatan di barat daya negara ini selepas ulama tertinggi menyifatkan pembinaan patung sebagai perbuatan berdosa.

Laman web berita, jazantoday.org melaporkan, pihak majlis perbandaran Abu Arish di Jazan yang terletak bersempadan dengan Yemen, telah diarahkan untuk memusnahkan patung berkenaan.

Arahan itu dikeluarkan selepas Mufti Besar Abdulaziz al-Shaikh menghantar sepucuk surat kepada Datuk Bandar Jazan bagi meminta supaya patung itu dimusnahkan kerana ia merupakan dosa besar dan dilarang di bawah undang-undang Islam. - AFP

Monday, August 20, 2012

Raya berdarah di Syria

Beirut: Hari Raya pertama disambut dengan pertumpahan darah baru di Syria kelmarin dengan sekurang-kurangnya 84 orang maut di seluruh negara itu, kebanyakannya askar manakala ibu negara Damsyik digegarkan dengan pertempuran.

Keganasan baru itu meletus ketika duta baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Lakhdar Brahimi berkata perkara utama sekarang ialah menamatkan perang saudara dan bukan sekadar menghalangnya daripada berlaku.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia melaporkan semalam, 16 mayat ditemui di perkampungan Al-Tall, sebuah kubu kuat pemberontak di wilayah Damsyik dan 34 lagi adalah askar, 28 orang awam dan 22 pemberontak menjadi korban di tempat lain.

Pertubuhan berpejabat di Britain itu mengumpul maklumat menerusi laporan aktivis di Syria yang memantau pertempuran antara pemberontak dan askar kerajaan di selatan Damsyik.

Guna senjata berat

Aktivis penentang pentadbiran Presiden Bashar al-Assad dari Suruhanjaya Umum Revolusi Syria berkata, tentera kerajaan menggunakan kereta kebal dan senjata berat termasuk mesingan untuk menyerang kawasan pinggir Damsyik, Maadamiet Al-Sham, semalaman.

Selain itu, penduduk Aleppo menyambut Aidilfitri dalam susana suram selepas bandar dekat sempadan Turki itu yang dilanda perang sejak tiga bulan lalu diberi amaran pemerintah bahawa ia akan menjadi lokasi ibu segala perang.
Ramai penduduk di Aleppo selain di tempat lain terpaksa berlapar kerana kekurangan makanan sebahagiannya berpunca daripada penutupan kedai menyebabkan protes meletus meskipun lebaran sudah tiba.

Bashar pula muncul di khalayak ramai dengan pegawai kanannya untuk mengerjakan solat Aidilfitri di sebuah masjid Damsyik kelmarin manakala penunjuk perasaan melancarkan protes di ibu negara dan bandar lain menyuarakan kemarahan terhadap pentadbirannya.

PBB tamat misi

Pemantau PBB juga menamatkan misi kelmarin selepas keganasan meningkat dan kuasa dunia gagal mencapai kata sepakat mengenai cara menangani Bashar dan memulihkan keamanan di negara penting Asia Barat itu.

Misi mereka ditamatkan beberapa hari selepas Brahimi menggantikan Kofi Annan.
Ada ramai yang berkata kita mesti elakkan perang saudara di Syria, tetapi saya percaya keadaan itu sudah berlarutan buat beberapa lama. Apa yang perlu dilakukan ialah hentikan perang saudara dan itu bukan mudah, katanya ketika diwawancara televisyen France 24.
AFP

Sunday, August 19, 2012

PBB henti misi pemantau di Syria

NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkan kumpulan pemantau antarabangsa di Syria untuk menghentikan misi mereka di negara bergolak itu berkuat kuasa tengah malam Ahad ini.

Duta Perancis di PBB, Gerard Araud berkata, usaha untuk meneruskan misi pemantau atau lebih dikenali sebagai UNSMIS tersebut terpaksa ditamatkan kerana syaratnya tidak dipenuhi.

Awal tahun lalu, seramai 300 pemerhati tentera tidak bersenjata dihantar ke Syria untuk memantau gencatan senjata menerusi perjanjian damai yang dipersetujui Wakil Khas PBB-Liga Arab, Kofi Annan bersama Presiden Bashar al-Assad.

Bagaimanapun, aktivis hak asasi manusia mendakwa Assad gagal melaksanakan gencatan senjata itu berikutan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat tidak berdosa masih terus berleluasa.

Susulan daripada insiden tersebut, PBB memutuskan untuk menangguhkan misi UNSMIS itu pada 15 Jun lalu.

Bermula kelmarin, jumlah pemerhati daripada 101 turut dikurangkan kepada 72 orang.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Jabatan Pengaman PBB, Edmond Mulet memaklumkan kumpulan pemantau terakhir akan meninggalkan Damsyik selewat-lewatnya pada Jumaat depan.

Sementara itu, sumber PBB memberitahu, diplomat veteran Algeria, Lakhdar Brahimi dikatakan akan menggantikan Annan yang meletak jawatan akhir bulan lalu sebagai wakil antarabangsa untuk menyelesaikan konflik di Syria.

Wednesday, August 15, 2012

OIC gantung Syria

MAKKAH - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah mengambil keputusan drastik dengan menggantung keahlian Syria, negara yang berhadapan dengan konflik lebih 17 bulan.

Perkara itu diputuskan pada sidang khas OIC yang berlangsung di sini dan diumumkan awal pagi ini.

"Wujud kebimbangan yang mendalam berkenaan dengan pembunuhan (orang ramai) dan tindakan tidak perikemanusiaan ke atas rakyat Syria," kata Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Nizar Obaid Madani.
Bagaimanapun keputusan itu dikatakan dibantah oleh Iran. OIC dianggotai negara yang mewakili 1.5 bilion umat Islam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | JCPenney Coupons