Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta pihak pentadbiran SK Seri Pristana tidak mengulangi kesilapan apabila menjadikan bilik persalinan perempuan sekolah itu sebagai kantin. Meskipun Kementerian Pendidikan telah mengarahkan kantin sekolah yang ditutup kerana proses pengubahsaian dibuka semula, namun implikasi dan kesan daripada tindakan sekolah menggunakan bilik persalinan amat besar terutama kepada ibu bapa.
Bagi DPPM tindakan pihak sekolah terbabit dianggap sebagai tindakan tidak bijak meskipun mereka beralasan keadaan kantin sedia ada tidak cukup menampung pelajar yang bertambah di sekolah itu serta keadaan kantin yang sedang dalam proses pengubahsuaian. Sepatutnya pihak sekolah mengkaji dahulu kesesuaian bilik persalinan dijadikan sebagai kantin sebelum keputusan dibuat. Banyak alternatif lain boleh digunakan bagi memastikan keselesaan pelajar dan ibu bapa.
Umum mengetahui bahawa kawasan tandas atau bilik persalinan adalah kawasan sulit dan dianggap sebagai tempat yang jijik dan kotor. Bagaimana pelajar boleh makan dalam keadaan selesa jika kantin tersebut berada di dalam tandas atau bilik persalinan? Soal bersih atau kotor bilik persalinan itu bukan suatu isu kerana masyarakat yang mengetahui isu ini pasti memandang ketidak wajaran tindakan sekolah berbuat demikian.
Lebih dari itu, isu ini menimbulkan persepsi yang negatif terutama bagi golongan bukan Islam yang menganggap pihak sekolah menganak tirikan anak-anak mereka yang makan dan minum di bulan Ramadhan dengan menyediakan kemudahan kantin hanya di bilik persalinan.
Justeru, DPPM mengharapkan pihak sekolah memperbaiki kesilapan ini dengan mewujudkan suasana yang kondusif, selesa, selamat dan bersih kepada semua pelajar di sekolah berkenaan. Keselesaan dan mewujudkan suasana yang baik mampu menempa kecemerlangan pelajar dan tahap pencapaian akademik mereka di masa hadapan.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !