Posting Terkini :
Home » » Ketagihan permainan video

Ketagihan permainan video

Written By Unknown on Wednesday, July 24, 2013 | 10:08 AM

SAYA berkesempatan melawat Korea Selatan baru-baru ini. Pada waktu terluang, saya berjalan-jalan cuba mencari sesuatu menarik perhatian yang mungkin tiada di Malaysia.

Semasa mengunjungi sebuah kompleks beli-belah elektronik mega yang terletak di Yongsan (sama seperti Plaza Low Yatt di Kuala Lumpur), saya terjumpa sebuah kedai yang dipanggil e-Sports Stadium. Kedai ini terletak di tingkat paling atas dan mempunyai keluasan seperti sebuah panggung wayang.

Memang menarik, kelihatan dua orang anak muda sedang bermain permainan video starcraft di hadapan skrin besar yang ditonton oleh puluhan penonton, siap dengan dua orang pengulas yang petah dan tepukan gemuruh.

Saya kagum kerana saya juga meminati permainan video tersebut. Bagi yang tidak pernah bermain, starcraft adalah permainan video peperangan taktikal antara dua kumpulan robot. Sama seperti permainan red alert, tetapi red alert merupakan permainan video peperangan taktikal antara dua buah negara.

Permainan video sebegini memang popular di negara maju seperti Korea Selatan dan Jepun. Mungkin kerana banyak alat permainan video seperti Sony Playstation dan Nintendo Wii yang berasal dari sana. Tetapi, permainan ini telah menjadi isu besar pula di sana kerana telah menyebabkan ramai orang ketagih dan menimbulkan kemudaratan.

Memang ketagihan bermain permainan video ini wujud. Cuma ia tidak pernah diberi perhatian khusus di Malaysia kerana kesannya kelihatan tidak seteruk ketagihan jenis lain seperti dadah, judi dan arak.

Ketagihan bermain permainan video di negara Asia Timur itu pernah menyebabkan kematian ke atas seorang pemain akibat terlalu khusyuk sehingga mengabaikan kesihatan. Dilaporkan mangsa mampu bermain selama 50 jam terus menerus tanpa rehat dan tidur secukupnya dalam tempoh beberapa tahun sebelum kematiannya.

Mengapa sehingga jadi begini? Saya juga pernah bermain permainan video western bar dan tetris pada zaman persekolahan. Malah, sekarang saya juga bermain permainan candy crush saga.

Jawapannya mungkin disebabkan pada waktu sekarang, kemudahan permainan video ini boleh dicapai secara dalam talian melalui telefon pintar seperti android dan iPhone. Ini memaksa pemain bermain secara berterusan dalam real time (waktu sebenar) untuk mengelakkan kekalahan atau membuat pembelian aplikasi tambahan.

Akibatnya ada kes, pemain mengabaikan kerja dan akhirnya terpaksa diberhentikan dan ada pasangan yang terlalu leka menjaga bayi virtual sehingga terlupa memberi bayi mereka sendiri makan dan akhirnya bayi mereka yang sebenar mati kelaparan.

Kajian menunjukkan bahawa permainan video merupakan penyebab perceraian keempat tertinggi di Jepun. Dalam kalangan kanak-kanak pula, tabiat makan sambil bermain permainan video telah menyebabkan mereka hilang tumpuan terhadap pembelajaran dan mengalami masalah obesiti.

Peranan ibu bapaIbu bapa perlu mengawal jumlah masa yang diperuntukkan untuk anak-anak bermain permainan video. Ini kerana anak-anak juga perlu melibatkan diri dengan pelbagai jenis aktiviti fizikal yang boleh mengeluarkan peluh dan menggalakkan hubungan sosial dengan rakan sebaya.

Ibu bapa perlu luangkan lebih banyak masa bersama mereka. Bawa anak keluar ke taman-taman permainan. Ada banyak tempat permainan kanak-kanak indoor di kompleks beli-belah jika risau masalah jerebu atau keselamatan di luar.

Yang penting, bawa mereka ke dunia realiti. Anda juga boleh bawa mereka melawat kaum keluarga atau tempat-tempat menarik. Mereka perlu tahu yang mereka juga sebahagian daripada komuniti besar di negara ini.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

INFO

Tiada lagi...

Komen

 
Programmer : Creating Website
Webmaster Anak Rimau
Copyright © 2011. Anak Harimau - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Mas Template