Posting Terkini :
Home » » MILF didesak ambil tindakan terhadap bekas komander

MILF didesak ambil tindakan terhadap bekas komander

Written By Unknown on Sunday, August 21, 2011 | 5:36 PM

MANILA 21 Ogos - Kerajaan Filipina akan mendesak pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) supaya mengambil tindakan ke atas seorang bekas komander kanannya yang bertindak keluar daripada MILF dan menubuhkan pasukan gerila serpihan yang boleh merosakkan rundingan damai.

Pasukan gerila baru yang ditubuhkan oleh komander Ameril Umbrakato dikenali sebagai Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro akan menjadi agenda utama dalam rundingan damai yang disambung semula di Malaysia esok, kata pembantu kanan kerajaan, Teresita Deles, hari ini.

"Ameril sudah tentu termasuk dalam agenda rundingan antara Manila dengan MILF yang bermula esok," kata Deles kepada AFP.

Ameril membawa kira-kira 300 anggota MILF bersama-samanya untuk meneruskan perjuangan bersenjata bagi menuntut sebuah negara merdeka di selatan Filipina.

Beliau menolak rundingan damai dan menuduh bekas rakan seperjuangannya membatalkan pemberontakan bersenjata untuk mendirikan sebuah negara Islam merdeka di Pulau Mindanao.

Deles berkata, walaupun tindakan kerajaan ke atas Ameril akan bergantung kepada penjelasan MILF mengenai status sebenar bekas komandernya itu, tindakan ketenteraan masih boleh diambil.

Katanya, kerajaan boleh menggunakan perjanjian dengan MILF sebelum ini, yang menuntut kedua-dua pihak membantu satu sama lain untuk menangkap atau menawan anasir jenayah yang bergerak di kawasan masing-masing.

Selepas berminggu-minggu menafikan MILF menghadapi pemberontakan di kalangan anggotanya, pertubuhan itu kelmarin menyifatkan pasukan Ameril sebagai kumpulan yang tidak lagi mematuhi arahannya dan kini bergerak sendirian.

Ameril adalah antara dua komander kanan MILF yang melancarkan serangan besar-besaran di seluruh Mindanao pada Ogos 2008 selepas Mahkamah Agung mengharamkan draf perjanjian damai yang memberi MILF kuasa terhadap banyak kawasan di selatan Filipina.

Kira-kira 400 orang terbunuh dan 750,000 lagi melarikan diri akibat serangan itu. - AFP
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

INFO

Tiada lagi...

Komen

 
Programmer : Creating Website
Webmaster Anak Rimau
Copyright © 2011. Anak Harimau - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Mas Template